15
Kebangkitan al-Masih
1 Aku menyatakan kepadamu, saudara-saudaraku, tentang Injil yang telah kusampaikan kepadamu, telah kamu terima dan pegang hingga sekarang.
2 Melalui Injil itu kamu diselamatkan, jika kamu tetap berpegang kepada Firman yang telah kusampaikan, dan imanmu bukan kosong semata-mata.
3 Aku telah menyampaikan kepadamu hal-hal utama, yang telah kuterima sendiri: Bahawa al-Masih telah mati untuk menebus dosa kita, sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci;
4 bahawa Dia telah dikuburkan, dan telah dibangkitkan pada hari yang ketiga, sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci;
5 dan bahawa Dia telah memperlihatkan diri-Nya kepada Kefas, kemudian kepada kedua-dua belas pengikut-Nya.
6 Selepas itu Dia memperlihatkan diri-Nya kepada saudara-saudara kita, lebih daripada lima ratus orang pada satu masa. Kebanyakan mereka masih hidup, dan ada yang sudah meninggal dunia.
7 Seterusnya Dia memperlihatkan diri-Nya kepada Yakobus, kemudian kepada semua rasul-Nya.
8 Akhir sekali Dia telah memperlihatkan diri-Nya kepadaku, yang seperti bayi yang dilahirkan sebelum masa;
9 kerana akulah yang paling rendah antara rasul-rasul, malah aku tidak layak disebut rasul, kerana aku telah menganiaya jemaah Allah.
10 Tetapi dengan kasih kurnia Allah, aku telah menjadi seperti diriku sekarang. Kasih kurnia-Nya yang telah dianugerahkan-Nya kepadaku tidaklah sia-sia, kerana aku telah bekerja lebih keras daripada mereka semua; sesungguhnya bukan aku yang melakukannya, tetapi kasih kurnia Allah yang bersamaku.
11 Dengan demikian, baik aku mahupun mereka, begitulah yang kami khabarkan, dan begitulah yang kamu percaya.
Kebangkitan orang mati
12 Setelah kami khabarkan kepadamu tentang al-Masih yang dibangkitkan daripada kematian, mengapakah ada di kalanganmu yang berkata bahawa tiada kebangkitan selepas mati?
13 Jika tiada kebangkitan selepas mati, maka al-Masih juga tidak dibangkitkan.
14 Jika al-Masih tidak dibangkitkan, maka sia-sialah perkhabaran kami dan sia-sialah imanmu.
15 Kami juga ternyata sebagai saksi dusta kepada Allah, kerana kami telah membuat kesaksian bahawa Allah telah membangkitkan al-Masih, sedangkan Allah tidak membangkitkan-Nya, kalaulah benar tiada kebangkitan selepas mati;
16 kerana jika tiada kebangkitan selepas mati, maka al-Masih tidaklah dibangkitkan.
17 Dan jika al-Masih tidak dibangkitkan, sia-sialah imanmu; dan kamu masih bergelumang dosa!
18 Orang yang mati dalam iman kepada al-Masih juga tetap binasa.
19 Sekiranya dalam hidup ini sahaja kita mempunyai harapan dalam al-Masih, kitalah yang paling malang antara manusia!
20 Tetapi al-Masih memang telah dibangkitkan daripada kematian. Dialah yang pertama dari kalangan orang yang telah mati.
21 Oleh sebab satu orang, kematian berlaku; dan oleh sebab satu orang juga, kebangkitan orang mati berlaku;
22 kerana sebagaimana dalam Adam semua manusia mati, demikian juga dalam al-Masih semua manusia akan dihidupkan semula;
23 masing-masing mengikut aturannya: Pertama al-Masih, kemudian mereka yang telah menjadi milik-Nya, pada saat kedatangan-Nya kelak.
24 Selepas itu datanglah pengakhiran, ketika Dia menyerahkan kerajaan kepada Allah Bapa, ketika dia melenyapkan semua pemerintahan, semua kewibawaan dan semua kekuasaan;
25 kerana Dia harus memerintah sehingga semua musuh telah diletakkan-Nya di bawah kaki-Nya.
26 Musuh terakhir yang akan dilenyapkan ialah Maut.
27 Semua perkara telah ditaklukkan oleh Allah di bawah kaki al-Masih. Jelaslah bahawa Allah tidak turut ditaklukkan.
28 Oleh itu setelah semua perkara ditaklukkan kepada al-Masih, Dia sebagai Putera akan menaklukkan diri-Nya juga kepada Allah, maka Allah menjadi segala-galanya dalam semua perkara.
29 Apakah akan dilakukan oleh mereka yang telah diimadkan bagi pihak orang mati? Sekiranya orang mati tidak dibangkitkan, mengapa orang diimadkan untuk orang mati?
30 Begitu juga kami, mengapa sepanjang masa kami rela menghadapi bahaya?
31 Setiap hari aku menghadapi kematian. Aku mengakui ini, saudara-saudaraku, demi kebanggaanku denganmu yang kumiliki dalam Isa al-Masih, Junjungan kita.
32 Jika menurut pertimbangan manusia, apa faedahnya bagiku berjuang seperti dengan binatang buas di Efesus? Juga, sekiranya orang mati tidak dibangkitkan,
‘marilah kita makan dan minum,
kerana esok kita mati.’
33 Jangan kamu biarkan dirimu disesatkan orang. ‘Kebiasaan yang baik musnah kerana pergaulan yang buruk.’
34 Insaflah sepenuhnya dan jangan berbuat dosa lagi, kerana di kalanganmu ada sebilangan yang tidak mengenal Allah. Aku berkata demikian supaya kamu berasa malu.
Kebangkitan tubuh
35 Mungkin ada yang menyoal, ‘Bagaimana caranya orang mati dibangkitkan? Dengan tubuh yang bagaimanakah mereka akan hidup?’
36 Hai orang yang tidak berakal, sesuatu yang kamu semaikan tidak mungkin tumbuh jika tidak mati terlebih dahulu.
37 Tambahan pula, yang kamu semaikan bukanlah seluruh tubuh tanaman, tetapi bijinya sahaja, contohnya biji gandum atau biji-bijiran lain.
38 Tetapi kemudian Allah memberikan biji itu suatu tubuh, menurut kehendak-Nya. Setiap biji mempunyai tubuhnya yang tersendiri.
39 Semua yang bernyawa tidak serupa. Rupa manusia berbeza dengan rupa binatang, rupa burung berlainan dengan rupa ikan.
40 Ada benda di langit dan ada benda di bumi. Kemuliaan benda di langit berbeza dengan kemuliaan benda di bumi.
41 Kemuliaan matahari berbeza dengan kemuliaan bulan, dan berlainan pula dengan kemuliaan bintang-bintang; manakala kemuliaan bintang-bintang berbeza antara satu sama lain.
42 Demikianlah dengan kebangkitan orang mati: Tubuh disemaikan dalam kebinasaan, dan dibangkitkan dalam ketidakbinasaan;
43 disemaikan dalam kehinaan, dibangkitkan dalam kemuliaan; disemaikan dalam kelemahan, dibangkitkan dalam kekuatan;
44 disemaikan dalam tubuh jasmani, dibangkitkan dalam tubuh rohani.
Jika ada tubuh jasmani, maka adalah juga tubuh rohani.
45 Sebagaimana telah tersurat, ‘Adam, manusia yang pertama, menjadi makhluk yang hidup,’ manakala Adam yang terakhir menjadi roh yang menghidupkan.
46 Yang pertama bukan rohani tetapi jasmani, dan yang kemudian adalah yang rohani;
47 kerana manusia yang pertama berasal daripada debu bumi, tetapi manusia yang kedua berasal daripada syurga.
48 Seperti manusia yang berasal daripada debu bumi itu, begitulah semua orang yang berasal daripada debu bumi. Dan seperti manusia dari syurga itu, begitulah semua orang yang syurgawi.
49 Sebagaimana kita telah memakai rupa yang berasal daripada debu bumi itu, kita akan memakai rupa manusia yang berasal daripada syurga.
50 Saudara-saudaraku, aku ingin mengatakan kepadamu, daging dan darah tidak akan mendapat tempat dalam kerajaan Allah, dan sesuatu yang boleh binasa tidak akan mendapat tempat dalam ketidakbinasaan.
51 Dengarlah, aku memberitahumu suatu rahsia: Tidak semua kita akan mati, tetapi semua akan diubah
52 serta-merta, dalam sekelip mata, ketika berbunyinya sangkakala yang terakhir. Pada saat itu orang mati akan dibangkitkan dalam ketidakbinasaan, dan kita yang masih hidup akan diubah,
53 kerana yang boleh binasa ini mesti mengenakan bentuk yang tidak boleh binasa, dan yang boleh mati ini mesti mengenakan bentuk yang tidak boleh mati.
54 Setelah ini berlaku, terbuktilah firman:
‘Maut telah ditelan dalam kemenangan.’
55 ‘Hai Maut, di manakah kemenanganmu?
Hai Maut, di manakah sengatmu?’
56 Sengat maut ialah dosa, manakala kuasa dosa ialah Taurat.
57 Tetapi syukurlah kepada Allah yang telah memberi kita kemenangan melalui Junjungan kita Isa al-Masih.
58 Oleh itu, saudara-saudara yang kukasihi, teguhkan pendirian, jangan berganjak, dan bersungguh-sungguhlah dalam pengabdianmu kepada Tuhan. Kamu tahu bahawa dalam Tuhan, jerih lelahmu tidak akan sia-sia.