4
Kesatuan dalam tubuh al-Masih
1 Oleh itu aku, yang terpenjara kerana Tuhan, merayu agar kamu, sebagai orang yang telah dipanggil, hiduplah berpadanan dengan panggilan itu.
2 Kamu haruslah selalu rendah hati dan lemah lembut; sabar, bertolak-ansur satu sama lain dalam kasih,
3 dan berusaha memelihara perpaduan dalam Roh dengan ikatan sejahtera.
4 Kamu hendaklah satu tubuh dan satu Roh – sebagaimana kamu telah dipanggil dengan satu harapan panggilan itu –
5 satu Junjungan, satu iman, satu pengimadan;
6 satu Allah iaitu Bapa sekalian, yang di atas sekalian, melalui sekalian, dan dalam kamu sekalian.
7 Tetapi masing-masing diberi kasih kurnia sekadar pemberian al-Masih.
8 Oleh itu firman-Nya:
‘Apabila Dia naik ke atas,
Dia menawan tawanan,
dan memberi pemberian
kepada manusia.’
9 (Apakah maksud ‘Dia naik ke atas’? Tentulah ertinya bahawa sebelum itu Dia telah turun ke bahagian terbawah di bumi.
10 Dia yang telah turun itu adalah juga Dia yang naik jauh ke atas semua lapisan langit, untuk memenuhi segala-galanya.)
11 Dan Dialah yang memberi sesetengah orang menjadi rasul, nabi, penyebar Injil, pembimbing jemaah dan pengajar,
12 untuk menyediakan orang yang salih bagi kerja melayani, untuk meneguhkan tubuh al-Masih.
13 Dengan itu kita semua mencapai kesatuan dalam iman dan pengetahuan akan Putera Allah, agar menjadi dewasa, dan memiliki pertumbuhan yang sesuai dengan kadar kesempurnaan al-Masih.
14 Maka, kita tidaklah lagi berupa kanak-kanak, dipukul ombak dan ditiup ke sana ke mari oleh setiap angin pengajaran orang, tipu daya manusia, dan putar belit muslihat jahat.
15 Sebaliknya, kita sentiasa bercakap benar dalam kasih, dan bertumbuh dalam segala hal ke arah Dia yang menjadi Kepala, iaitu al-Masih.
16 Daripada-Nya, seluruh tubuh yang dihubungkan dan dijalin erat oleh setiap sendi dalam kelengkapannya manakala setiap bahagian menjalankan peranan masing-masing, bertumbuh untuk meneguhkan dirinya dalam kasih.
Hidup sebagai anak cahaya
17 Oleh itu aku berkata demikian dan bersaksi demi Tuhan, janganlah lagi kamu hidup seperti orang yang tidak mengenal Allah, menurut pemikiran yang sia-sia.
18 Akibatnya, daya pengertian mereka dimalapkan, dan diri mereka tersisih daripada kehidupan Allah, kerana kejahilan mereka, kerana kedegilan hati mereka.
19 Oleh sebab sudah hilang perasaan, mereka telah menceburkan diri dalam kancah maksiat, bergelumang dalam segala noda dengan rakus.
20 Tetapi bukan demikian yang kamu pelajari tentang al-Masih,
21 jika kamu telah mendengar-Nya dan diajar oleh-Nya, sebagaimana kebenaran itu dalam Isa.
22 Berkenaan kelakuanmu yang dahulu, kamu menyingkirkan dirimu yang lama, yang dirosakkan oleh hawa nafsu tipu daya;
23 dan kamu dibaharui dalam roh pemikiranmu;
24 serta berubah kepada diri baru yang dicipta menurut teladan Allah dalam kebenaran dan kesucian sejati.
25 Oleh itu, janganlah lagi berdusta. Hendaklah setiap orang daripada kamu bercakap benar sesama manusia kerana kita adalah sesama anggota.
26 ‘Apabila kamu marah, janganlah sampai melakukan dosa.’ Jangan kekalkan kemarahanmu hingga matahari terbenam,
27 dan jangan beri tempat kepada iblis.
28 Orang yang mencuri hendaklah berhenti mencuri dan mula bekerja, membuat sesuatu yang baik dengan tangannya, supaya dapat memberi kepada orang yang kekurangan.
29 Janganlah biarkan kata-kata yang kesat keluar dari mulutmu, tetapi lafazkanlah teguran yang membina, mengikut keperluannya, supaya membawa berkat kepada yang mendengar.
30 Dan janganlah kamu menyedihkan Roh Suci Allah yang telah mematerai kamu bagi hari penebusan.
31 Singkirkanlah segala kepahitan, keberangan dan kemarahan, pergaduhan dan umpatan, bersama segala niat jahat.
32 Dan berbelas kasihlah satu sama lain, bersikap baik, saling memaafkan, sebagaimana Allah telah mengampunimu dalam al-Masih.