2
Kerja Paulus di Tesalonika
1 Saudara-saudaraku, kamu tahu bahawa kunjungan kami kepadamu tidak sia-sia.
2 Kamu tahu bahawa kami telah dianiaya dan telah dihina di Filipi. Walaupun kami telah ditentang tetapi dengan pertolongan Allah Tuhan kita, kami beroleh keberanian untuk menyampaikan Injil-Nya kepadamu.
3 Seruan kami kepadamu tidak berasaskan kesilapan atau niat yang jahat mahupun percubaan memperdayamu.
4 Sebaliknya, kami sentiasa berkata-kata sebagai orang yang dipandang layak oleh-Nya untuk memegang amanah menyampaikan Injil itu. Kami tidaklah berusaha hanya sekadar menyukakan hati manusia tetapi semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah yang menguji hati kami.
5 Kamu tahu bahawa kami tidak mendekatimu dengan kata-kata sanjungan atau dengan niat tersembunyi untuk mendapatkan keuntungan daripadamu. Allah menjadi saksi kami.
6 Kami juga tidak berusaha mendapatkan pujian manusia baik daripada kamu mahupun orang lain.
Walaupun sebagai rasul al-Masih kami memang boleh menuntut sesuatu daripadamu,
7 namun ketika kami bersamamu, kami bersikap lemah lembut seperti ibu menjaga anak-anaknya.
8 Kami amat mengasihimu sehingga kami bukan sahaja berasa sukacita menyampaikan Injil daripada Allah kepadamu malah sanggup memberikan kehidupan dan nyawa kami untukmu kerana kamu amat dekat dengan kami.
9 Saudara-saudaraku, tentu kamu ingat betapa kami bertungkus-lumus siang malam agar tidak membebankan kamu ketika kami menyebarkan Injil daripada Allah.
10 Kamu menjadi saksi kami, di samping Allah, bahawa setiap perbuatan kami suci, benar dan tiada cacat celanya di kalangan kamu yang beriman.
11 Kamu tahu betapa kami menasihati, menggalakkan dan menyeru kamu seperti bapa terhadap anak-anaknya,
12 supaya kamu hidup dengan cara yang diredai Allah yang memanggilmu ke dalam kerajaan-Nya serta kemuliaan-Nya.
13 Di samping itu, kami sentiasa bersyukur kepada Allah kerana apabila kami menyampaikan perkhabaran Allah kepadamu, kamu telah mendengar dan menyambutnya bukan sebagai perutusan daripada manusia tetapi sebagai firman Allah. Memang benar perkhabaran itu daripada Allah yang bekerja dalam dirimu yang beriman.
14 Saudara-saudaraku, kamu telah mengikut teladan jemaah Allah di Yudea yang beriman kepada Isa al-Masih. Kamu dianiaya oleh bangsamu sendiri, sebagaimana jemaah di Yudea dianiaya oleh orang Yahudi.
15 Orang Yahudi telah membunuh Junjungan Isa dan nabi-nabi mereka sendiri serta mengusir kami keluar. Mereka menyakitkan hati Allah, memusuhi semua manusia,
16 serta menghalang kami daripada menyebarkan perkhabaran kepada orang bukan bani Israel supaya mereka beroleh penyelamatan. Demikianlah orang Yahudi berterusan melakukan dosa sehingga sampai hadnya. Kini seluruh kemurkaan Allah menimpa mereka.
Kerinduan Paulus
17 Saudara-saudara, meskipun kami terpisah jauh daripadamu bagi sementara waktu, namun hati kami tetap dekat denganmu dan amat merinduimu. Kami berusaha sedaya upaya untuk bertemu lagi denganmu.
18 Kami berhasrat mengunjungimu lagi. Aku sendiri telah berusaha berkali-kali untuk melawatmu, tetapi kami telah dihalang oleh Iblis.
19 Siapakah harapan, kesukaan, atau mahkota yang akan kami megahkan kelak di hadapan Junjungan kita Isa ketika Dia datang nanti? Bukankah kamu?
20 Memang kamulah kemuliaan dan kegembiraan kami.