4
Hidup demi Allah
1 Oleh sebab al-Masih telah menderita secara jasmani untuk kita, teguhkanlah dirimu untuk menghadapi penderitaan demikian. Dia yang telah menderita secara jasmani itu telah mengatasi dosa.
2 Dia tidak meneruskan hidupnya secara jasmani untuk memuaskan nafsu insani tetapi untuk melakukan kehendak Allah.
3 Sudah cukuplah waktu hidup silam yang kita habiskan dengan melakukan kehendak orang yang tidak mengenal Allah – hidup cabul, memuaskan nafsu, mabuk-mabuk bersuka ria, minum arak di majlis, dan melakukan kerja terkutuk menyembah berhala.
4 Dalam hal ini, mereka hairan kerana kamu tidak lagi menyertai mereka dalam kancah maksiat itu, lalu mereka mencela kamu.
5 Mereka kelak harus mempertanggungjawabkan perbuatan mereka kepada Allah yang sedia menghakimi orang hidup dan orang mati.
6 Itulah sebabnya Injil juga disampaikan kepada orang yang telah mati, supaya mereka yang dihakimi sebagai manusia secara jasmani, dapat hidup secara rohani menurut kehendak Allah.
7 Sudah hampir waktunya bagi segala-galanya berakhir. Oleh itu berdoalah dengan bersungguh-sungguh dan berjaga-jaga.
8 Paling utama, kasihilah satu sama lain kerana kasih akan menutup banyak dosa.
9 Raikan satu sama lain tanpa bersungut.
10 Setiap orang antaramu telah menerima pelbagai kurnia daripada Allah. Sebagai pengurus yang baik bagi kurnia Allah, gunakanlah kurnia itu untuk kebaikan semua.
11 Jika sesiapa menyampaikan perkhabaran, sampaikanlah berita daripada Allah. Jika sesiapa memberi pertolongan, berilah dengan keupayaan yang dibekalkan oleh Allah. Dengan demikian, dalam semua hal Allah akan dimuliakan melalui Isa al-Masih yang memiliki kemuliaan dan kekuasaan selama-lamanya. Amin.
Menderita kerana menjadi pengikut al-Masih
12 Saudara-saudara yang kukasihi, janganlah hairan bahawa kamu diuji dengan penderitaan yang berat, jangan anggap perkara itu luar biasa.
13 Sebaliknya, bergembiralah bahawa kamu turut mengalami penderitaan al-Masih. Dengan demikian, apabila kemuliaan-Nya ternyata, kamu juga dapat berasa sukacita yang tidak terhingga.
14 Sekiranya kamu dicela kerana menjadi pengikut dan mengambil nama al-Masih, diberkatilah kamu kerana Roh yang mulia iaitu Roh Allah ada bersamamu.
15 Namun, janganlah seorang pun di antara kamu menderita kerana kesalahan membunuh, mencuri, berbuat jahat atau mencampuri hal orang.
16 Tetapi jika sesiapa menderita sebagai seorang Masihi, janganlah berasa malu, malah muliakanlah Allah kerananya.
17 Sudah tiba masanya penghakiman dimulai, dan pertama-tama dihakimi adalah umat Allah sendiri. Jika penghakiman itu dimulai dengan kita, bagaimanakah kesudahannya orang yang tidak mentaati Injil daripada Allah?
18 Dan,
‘Jika orang benar pun sukar diselamatkan,
apa jadinya orang yang ingkar dan
yang berdosa?’
19 Oleh itu, mereka yang menderita menurut kehendak Allah hendaklah berbuat baik sambil berserah kepada Allah, Pencipta yang setia.