21
Langit baru dan bumi baru
1 Aku melihat langit baru dan bumi baru, kerana langit dan bumi yang lama telah lenyap, dan laut pun tiada lagi.
2 Kemudian aku, Yahya, melihat kota suci, Baitulmaqdis Baru, diturunkan Allah dari syurga, seperti pengantin yang terhias untuk suaminya.
3 Aku mendengar suara lantang dari syurga berkata, ‘Lihatlah, tempat kediaman Allah sekarang berserta manusia, dan Dia akan tinggal bersama mereka, dan mereka akan menjadi umat-Nya, dan Allah Sendiri akan bersama mereka sebagai Allah Tuhan mereka.
4 Allah akan menghapuskan setiap titik air mata mereka. Tiadalah lagi kematian, kesedihan dan tangisan. Tiada lagi kesakitan, kerana segala yang lama telah lenyap.
5 Kemudian Dia yang bersemayam di atas takhta berkata, ‘Lihatlah, Aku telah mencipta segalanya baru.’ Dia berfirman kepadaku, ‘Tuliskanlah, kerana kata-kata ini benar dan tepat.’
6 Firman-Nya lagi, ‘Segalanya telah selesai! Akulah Alif dan Ya, Yang Pertama dan Yang Terakhir. Aku akan memberikan mata air hidup kepada sesiapa yang dahaga.
7 Sesiapa yang menang akan mewarisi segala-galanya. Aku Allah Tuhannya dan dia anak-Ku.
8 Tetapi mereka yang pengecut, tidak beriman, durjana, pembunuh, melakukan pencabulan, ahli sihir, penyembah berhala dan semua pendusta akan dimasukkan ke dalam lautan yang menyala dengan api dan belerang. Inilah kematian kedua.
9 Kemudian salah satu daripada tujuh malaikat yang membawa tujuh mangkuk berisi tujuh wabak datang kepadaku dan berkata, ‘Marilah, aku akan menunjukkan kepadamu pengantin, isteri Anak Domba.’
Baitulmaqdis yang baru
10 Dia membawaku dalam Roh ke sebuah gunung yang besar dan tinggi, lalu menunjukkan kepadaku kota yang agung, Baitulmaqdis Yang Suci, diturunkan Allah dari syurga,
11 dipenuhi kemuliaan Allah. Cahayanya seperti batu yang amat berharga, batu yaspis, jernih seperti hablur.
12 Kota itu besar dan tinggi, dan berpintu dua belas, maka pada kedua-dua belas pintu itu ada dua belas malaikat. Di pintu itu tersurat nama kedua-dua belas suku Israel.
13 Di timur ada tiga pintu, di utara tiga pintu, di selatan tiga pintu, dan di barat tiga pintu.
14 Tembok kota itu beralas dua belas, dan di atasnya ada dua belas nama, iaitu nama dua belas rasul Anak Domba.
15 Malaikat yang bertutur denganku itu memegang batang pengukur emas, untuk mengukur kota itu termasuk pintu dan temboknya.
16 Kota itu empat persegi, panjangnya sama dengan lebarnya. Dia mengukur kota itu dengan batang pengukur, seribu empat ratus batu; panjang, lebar dan tingginya sama.
17 Temboknya seratus empat puluh empat hasta, menurut ukuran manusia, juga ukuran malaikat.
18 Tembok itu diperbuat daripada batu yaspis. Kota itu daripada emas tulen, seperti kaca yang jernih.
19 Segala alas tembok kota itu dihiasi dengan pelbagai permata. Alas yang pertama yaspis, yang kedua batu nilam, yang ketiga batu akik putih, yang keempat zamrud,
20 yang kelima batu unam, yang keenam akik merah, yang ketujuh ratna cempaka, yang kelapan firuz, yang kesembilan yakut kuning, yang kesepuluh akik hijau, yang kesebelas nilam, dan yang kedua belas batu kecubung.
21 Dua belas pintu itu diperbuat daripada dua belas mutiara, iaitu setiap pintu itu sebutir mutiara yang sangat besar. Jalan di kota itu diperbuat daripada emas tulen, seperti kaca yang bening.
22 Aku tidak melihat rumah ibadat di dalamnya, kerana Allah, Tuhan Yang Maha Kuasa dan Anak Domba ialah rumah ibadatnya.
23 Kota itu tidak memerlukan sinaran matahari dan bulan, kerana kemuliaan Allah meneranginya dan Anak Domba itu pelitanya.
24 Semua bangsa berjalan dalam cahayanya, dan raja-raja di bumi membawa kemuliaan mereka ke dalamnya.
25 Pintu gerbangnya tidak pernah ditutup pada siang hari kerana malam tiada lagi.
26 Kemuliaan dan kehormatan segala bangsa akan dibawa ke dalamnya.
27 Tiada sekali-kali masuk ke dalamnya sesuatu yang najis atau sesiapa yang melakukan perbuatan keji atau berdusta. Manusia yang masuk ke dalamnya hanyalah yang tersurat namanya di dalam Kitab Hidup Anak Domba.