4
Arahan Paulus untuk Timotius
1 Roh Suci menyatakan dengan jelas bahawa pada akhir zaman sesetengah orang akan berpaling daripada iman, mengikut roh-roh yang memperdayakan dan ajaran roh-roh iblis.
2 Ajaran ini disampaikan oleh pendusta yang munafik yang hati nuraninya bagaikan diselar besi panas.
3 Mereka melarang orang berkahwin dan menegah orang memakan makanan yang telah dijadikan Allah untuk diterima dengan syukur oleh orang yang beriman dan mengetahui ajaran yang benar.
4 Setiap ciptaan Allah itu baik, dan tiada suatu apapun yang harus ditolak, asalkan diterima dengan syukur,
5 kerana segalanya telah disucikan dengan firman Allah dan doa.
6 Jika engkau mengajarkan hal-hal ini kepada saudara-saudara seiman, engkau akan menjadi hamba Isa al-Masih yang baik, yang dipupuk dengan kata-kata iman dan ajaran baik yang telah kauikut dengan teliti.
7 Jauhilah cerita-cerita yang bercorak duniawi dan karut, serta latihlah diri menjadi orang yang salih.
8 Latihan jasmani ada faedahnya, tetapi kesalihan berfaedah dalam segala hal, bagi kehidupan sekarang mahupun kehidupan akan datang.
9 Kata-kata ini benar dan harus diterima sepenuhnya.
10 Kita bekerja keras dan berjuang, kerana kita yakin kepada Allah Yang Hidup, Penyelamat semua manusia, terutamanya mereka yang beriman.
11 Perintahkan dan ajarkanlah semua ini.
12 Jangan biarkan sesiapa menghinamu kerana usiamu yang muda. Jadikan dirimu teladan kepada semua orang beriman dari segi kata-kata, kelakuan, kasih, iman dan kesucian.
13 Hingga aku datang nanti, tumpukan perhatian kepada membaca Kitab Suci di khalayak ramai, menyampaikan firman dan mengajar orang.
14 Jangan lalai dalam menggunakan kurnia yang diberikan kepadamu melalui nubuat ketika sekumpulan tua-tua jemaah meletakkan tangan ke atasmu.
15 Lakukanlah hal-hal ini dengan rajin. Curahkan seluruh keupayaan dirimu kepadanya, supaya kemajuanmu jelas di mata semua orang.
16 Berhematlah tentang dirimu dan ajaranmu. Lakukan terus-menerus, kerana dengan demikian engkau akan menyelamatkan dirimu dan mereka yang mendengar kata-katamu.