4
Ujilah setiap roh
1 Saudara-saudara yang kukasihi, jangan percayai setiap roh. Sebaliknya ujilah setiap roh itu sama ada datang daripada Allah kerana terdapat ramai nabi palsu di merata-rata.
2 Untuk memastikan sama ada roh itu Roh Allah, inilah caranya: Jika roh itu mengakui bahawa Isa al-Masih telah datang ke dunia sebagai manusia, maka roh itu datang daripada Allah.
3 Tetapi jika roh itu menolak hakikat tentang al-Masih ini, nyatalah roh itu bukan daripada Allah tetapi daripada dajal, penentang al-Masih. Kamu sudah mendengar bahawa roh itu akan muncul. Sekarang roh itu sudahpun ada di dunia ini.
4 Namun demikian, anak-anakku, kamu milik Allah. Kamu telah menewaskan nabi-nabi palsu itu, kerana roh yang ada padamu lebih berkuasa daripada roh yang ada di dalam dunia.
5 Nabi-nabi palsu itu berkata tentang hal ehwal daripada pandangan dunia dan orang dunia ini mendengar kata-kata mereka kerana mereka milik dunia ini.
6 Tetapi kita milik Allah. Sesiapa yang mengenal Allah mendengar kata-kata kita dan sesiapa yang bukan milik Allah tidaklah mahu mendengar kata-kata kita. Demikianlah caranya kita mengenal pasti Roh yang membawa kebenaran dan roh yang menyesatkan.
Kasih Allah
7 Saudara-saudara yang kukasihi, marilah kita kasih-mengasihi kerana kasih itu datang daripada Allah. Sesiapa yang kasih-mengasihi mengenal Allah dan mereka anak Allah.
8 Sesiapa yang tidak mengasihi sesama manusia tidak mengenal Allah kerana Allah itu kasih.
9 Begitu kasihnya Allah kepada kita sehingga Dia menghantar Putera-Nya yang tunggal ke dunia supaya melalui-Nya kita mendapat hidup yang kekal.
10 Demikianlah kasih: bukannya kita mengasihi Allah tetapi Allah mengasihi kita lalu menghantar Putera-Nya sebagai korban pendamaian bagi dosa kita.
11 Saudara-saudara yang kukasihi, Allah amat mengasihi kita, maka haruslah kita kasih-mengasihi.
12 Tiada siapa pernah melihat Allah tetapi jika kita kasih-mengasihi, Allah tetap ada di dalam kita dan kasih-Nya disempurnakan dalam diri kita.
13 Oleh sebab Allah telah mengurniakan Roh-Nya kepada kita, tahulah kita bahawa kita tetap ada di dalam Allah dan Allah di dalam kita.
14 Kami telah melihat Putera dan menyebarkan berita bahawa Bapa telah menghantar Putera-Nya sebagai al-Masih, Penyelamat dunia ini.
15 Sesiapa yang mengakui Isa itu Putera Allah, nescaya Allah tetap di dalam orang itu dan dia pun di dalam Allah.
16 Kita tahu dan yakin sepenuh hati bahawa Allah mengasihi kita.
Allah itu kasih. Sesiapa yang sentiasa mengasihi sesama manusia tetap ada di dalam Allah, dan Allah tetap di dalam dia.
17 Dengan cara ini, kasih disempurnakan dalam diri kita supaya kita berani pada Hari Penghakiman nanti kerana hidup kita di dunia ini sama seperti hidup al-Masih di dunia.
18 Dalam kasih tidak ada ketakutan. Kasih yang sempurna menghilangkan segala rasa takut kerana ketakutan ada kaitan dengan hukuman. Dengan demikian, orang yang takut belum mengenal kasih yang sempurna.
19 Kita mengasihi sesama manusia kerana Tuhan terlebih dahulu mengasihi kita.
20 Jika sesiapa berkata, ‘Aku mengasihi Allah,’ tetapi dia benci akan saudaranya, dia seorang pendusta. Jika dia tidak mengasihi saudaranya yang dapat dilihatnya, betapa dia mengasihi Allah yang tidak dapat dilihatnya?
21 Al-Masih telah memberi kita perintah ini: Sesiapa yang mengasihi Allah mesti mengasihi saudaranya juga.