5
Beriman pada al-Masih
1 Sesiapa percaya bahawa Isa iaitu al-Masih, maka orang itu anak Allah. Sesiapa mengasihi bapa mengasihi anaknya juga.
2 Dengan demikianlah kita tahu bahawa kita mengasihi anak-anak Allah apabila kita mengasihi Allah dan mentaati perintah-Nya.
3 Jika kita mengasihi Allah, maka kita taat akan perintah Allah. Tidak sukar bagi kita untuk taat akan perintah-Nya,
4 kerana setiap anak Allah dapat menewaskan dunia. Inilah kemenangan yang mengalahkan dunia, iaitu iman kita.
5 Siapakah yang dapat menewaskan dunia? Hanya orang yang percaya bahawa Isa Putera Allah.
6 Isa al-Masih telah datang ke dunia dengan air dan darah. Dia datang bukan dengan air sahaja tetapi dengan air dan darah. Roh adalah saksi dan Roh adalah benar.
7 Ada tiga yang memberi kesaksian:
8 Roh Suci, air dan darah, ketiga-tiganya memberi kesaksian yang sama.
9 Jika kita percaya akan kesaksian manusia, maka kesaksian Allah lebih kuat lagi kerana inilah kesaksian yang diberikan Allah tentang Putera-Nya.
10 Oleh yang demikian, sesiapa yang percaya kepada Putera Allah menyimpan kesaksian itu di dalam dirinya. Sebaliknya, sesiapa yang tidak percaya kepada Allah, maka dia menuduh Allah itu pendusta kerana dia tidak percaya akan kesaksian-Nya tentang Putera-Nya.
11 Kesaksian itu ialah: Allah memberi kita hidup yang kekal dan hidup ini ada di dalam Putera-Nya.
12 Sesiapa yang memperoleh Putera itu, memperoleh hidup itu. Dan sesiapa yang tidak memperoleh Putera Allah, tidak memperoleh hidup itu.
Pengetahuan tentang hidup yang kekal
13 Aku menulis surat ini kepada kamu yang percaya kepada nama Putera Allah agar kamu mengetahui bahawa kamu memperoleh hidup yang kekal.
14 Kita dapat menghadap Allah dengan keyakinan bahawa Dia mengabulkan segala doa kita yang selaras dengan kehendak-Nya.
15 Kita tahu bahawa dia sentiasa mendengar permohonan kita ke hadirat-Nya. Kita tahu juga bahawa Dia mengurniakan apa yang kita minta daripada-Nya.
16 Sekiranya kamu melihat saudara seimanmu melakukan dosa, dan dosa itu tidaklah mengakibatkan kematian, berdoalah semoga Allah memberinya hidup. Tetapi ada dosa yang mengakibatkan kematian. Aku tidak mengatakan bahawa dia harus berdoa tentang hal itu.
17 Setiap perbuatan salah itu dosa, tetapi sesetengah dosa tidaklah mengakibatkan kematian.
18 Kita tahu bahawa anak-anak Allah tidak melakukan dosa berterusan; Dia yang datang daripada Allah melindungi dirinya lantas Iblis tidak berupaya menyesatkannya.
19 Kita tahu bahawa kita milik Allah walaupun dunia diperintah oleh Iblis.
20 Kita tahu bahawa Putera Allah telah datang dan memberi kita pengertian, supaya kita mengenal Dia yang benar. Kita ada di dalam Dia yang benar bahkan di dalam Putera-Nya, Isa al-Masih. Inilah Allah, Tuhan yang benar dan hidup yang kekal.
21 Anak-anakku, jauhkanlah dirimu daripada berhala.